Sunday, April 4, 2010

Bertarung Nyawa Melawan 'Malignant Germcastumor'



4 APRIL 2010 / 19 RABIULAKHIR 1431H
=================================

"UUM: UNIVERSITI PILIHAN UTAMA"
FIRST CHOICE UNIVERSITY)

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar: Shamsaimi Ezil

PROUUM ONLINE: Menjalani CT Scan, biopsy dan empat pusingan chemotherapy untuk membunuh sel kanser sangat memeritkan namun pergantungan kuat kepada Allah dan sokongan keluarga tercinta membolehkan Prof. Madya Abu Bakar Hamed mengharungi ujian itu dengan tabah dan sabar.

“Bayangkan saya perlu menjalani empat cycle chemotherapy dari jam 12 tengahari sehingga 10 malam selama lima hari berturut-turut. Setiap kali ubat disuntik ke dalam badan hanya Allah yang tahu betapa sakitnya,” katanya.

Jelasnya, Malignant Germcastumor merupakan penyakit yang terhasil apabila sel-sel menjadi tidak normal membiak dengan cepat sehingga merosakkan sel lain yang kebiasaanya berlaku kepada remaja dan dewasa.

“Penyakit ini dikesan pada Julai lalu apabila saya tiba-tiba diserang sakit yang teramat sangat dari bahagian bahu ke pinggang sehingga sampai satu tahap saya merasakan akan mati

“Saya sebelum ini menjalani pemeriksaan tetapi doktor tidak dapat mengesan penyakit itu tetapi perasaan curiga timbul apabila kesakitan semakin menjadi-jadi sebelum saya melakukan pemeriksaan secara keseluruhan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan di dalam paru-paru serta sebarang kelewatan rawatan boleh memudaratkan tahap kesihatan dan beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana dapat merasakan sesuatu yang tidak kena apabila batuk berlanjutan selama dua bulan.

“Pesan doktor, kalau nak lihat generasi akan datang, dapatkan rawatan chemotherapy.

“Oleh itu, jangan ambil mudah dengan tubuh kita kalau rasa sesuatu kelainan segerakan pemeriksaan. Malah, faktor pemakanan, gaya hidup, pencemaran, kurang kesedaran terhadap bahaya kanser boleh menyumbang kepada penyakit ini,” katanya.

Semasa tempoh itu, beliau ditemani isteri, Asma Saad berulang-alik dari Jitra ke Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan pakar dan menjalani pembedahan yang berjaya membuang ketulan yang sudah hampir dengan jantung.

“Walau apapun cabaran yang datang kita perlu sabar dan tabah menghadapi ujian dan sentiasa ingat bahawa Allah bersama dan membantu kita.

“Ujian diberi setimpal dengan keupayaan kita, yang penting jangan berputus asa daripada rahmatNya,” tambahnya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Baharudin Yaacob dan Penolong Naib Canselor College of Business (UUM COB), Prof. Dr. Mahamad Tayib turut menziarahi beliau di Kampung Hijrah, Jitra.

Pada pertemuan petang semalam, Mustafa turut menyampaikan sumbangan daripada warga UUM sebanyak RM1,532 dan cenderamata.

Beliau yang beransur pulih melahirkan rasa terharu dan berterima kasih di atas keprihatinan warga UUM yang sentiasa melawat serta mendoakannya sekali gus menjadi kekuatan kepadanya di saat bertarung dengan maut.

Habis.
=============================
DARIPADA:
PEJABAT PERHUBUNGAN AWAM
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3007/3014/3066/4078
FAKS: 04-928 3016
E-MEL: prouum@uum.edu.my

No comments: